Saturday, 21 January 2012

Tingkatkan Daya Ingatan


Anda merasakan anda sudah tua kerana sikap anda yg pelupa? Anda asyik lupa di mana kali akhir anda meletakkan sesuatu? Orang di sekeliling selalu marahkan anda kerana lupa tarikh penting, lupa letak barang, lupa makan ubat, lupa fakta2, lupa tutup kipas, lupa arah jalan, lupa nama orang dan macam-macam lagi. Sebenarnya, kita dapat meningkat daya ingatan atau mengurangkan risiko menjadi pelupa dengan mengamalkan tips-tips di bawah secara berterusan. Lebih baik jika kita mempraktikkan ketika usia masih muda supaya kelak di hari tua kita tidak menjadi terlalu pelupa. Antaranya ialah:

Amalkan Tidur Yang Cukup
1/3 hidup kita dihabiskan dengan tidur. Namun ada orang yang suka tidur lewat atau mengabaikan tidur yang cukup. Badan perlu rehat. Keletihan hanya akan mengganggu maklumat / data yang telah disimpan oleh otak dan juga menjejaskan kemampuan untuk mempelajari sesuatu yang baru. Oleh itu, amalkan tidur yang cukup di malam hari kerana ia dapat membantu daya ingatan kita berfungsi.

Mengawal Tekanan
Tekanan hanya akan membuat jiwa anda tidak tenteram dan menyebabkan kesihatan anda terganggu. Anda juga lebih cenderung untuk menjadi seseorang yang tidak peka dengan keadaan persekitaran. Anda tidak dapat berfikir dengan jelas dan daya ingatan anda juga terjejas. Oleh itu, kawal tekanan anda dengan baik seperti bermeditasi, membaca Al-Quran, yoga, sauna, aromaterapi dan sebagainya.

Berhati2 Dengan Pengambilan Vitamin atau Makanan Tambahan
Sesetengah produk yang dijual di kaunter atau farmasi tidak sesuai dengan kita. Ada yang kononnya dapat meningkatkan daya ingatan. Tetapi sebaliknya ada yang memberi kesan sampingan. Oleh itu, lebih baik jika kita mendapatkan vitamin yang diperlukan oleh tubuh badan kita dengan pemakanan yang seimbang atau rujuk dahulu doktor yang bertauliah sebelum membeli makanan tambahan.

Bersenam
Bersenam dapat menggerakkan otot-otot dan melancarkan peredaran darah ke otak. Oleh itu, daya ingatan kita juga akan menjadi lebih baik. Amalkan senaman walaupun sekadar berjalan kaki.

Elakkan Kemurungan
Kemurungan dalam hidup akan menyebabkan hidup anda tidak ceria. Anda sentiasa berada dalam keadaan tidak segar dan rasa kecewa. Lama kelamaan ia turut menjejaskan daya ingatan anda dan membuat anda tidak hirau dengan persekitaran anda. Ubatilah kemurungan sebelum menjadi serius dengan berjumpa psikiatri atau beramal-ibadah mendekatkan diri kepada Tuhan.

Awasi Pengambilan Ubat
Daya ingatan mungkin menjadi lemah dengan pengambilan ubat-ubatan tertentu seperti pil hormon, ubat darah tinggi, anti-kemurungan dan sebagainya. Jika anda menghadapi masalah daya ingatan disebabkan pengambilan ubat, konsultasi dengan doktor. Jangan mengambil ubat tanpa arahan doktor.

Belajar Sesuatu yang Baru
Cubalah aktifkan pemikiran anda dengan mempelajari sesuatu yang baru misalnya Bahasa Jepun, kursus kemahiran jangka pendek, menjahit, atau menghadiri ceramah dan motivasi.

Permainan
Bermain sesuatu permainan seperti board games dapat merangsang minda. Contohnya, catur, scrabble (Sahibba) dan Monopoli. Selain itu, teknologi sekarang lebih baik seperti permainan komputer dan Playstation. Pilihlah jenis permainan yang mencabar minda.

Banyak Membaca
Jadikan amalan membaca sebagai kegiatan harian. Membaca dapat meluaskan pengetahuan, mengembangkan minda dan menajam daya ingatan. Cuba ingat sedikit-sebanyak fakta yang terkandung di dalam bahan bacaan.

Katakan Berulang Kali
Untuk meningkat ingatan anda tentang sesuatu maklumat atau tarikh, katakan dengan kuat dan berulang kali sehingga anda benar-benar ingat akan maklumat tersebut.

Fokus
Daya ingatan dapat dilancarkan sekiranya anda sering fokus dalam sesuatu, contohnya matlamat hidup. Anda juga dapat belajar fokus dengan menumpukan fikiran anda pada sesuatu perkara dan mencatatkan apa yang anda fikirkan.

Bermain Dengan Angka
Asahkan minda anda dengan cuba bermain dengan angka seperti mengingati nombor telefon rakan-rakan. Selain itu, anda boleh menghubungkaitkan angka-angka tersebut dengan sesuatu bagi meningkatkan daya ingatan.

Membaca Al-Quran
Sekiranya anda seorang Muslim, amalkan membaca Al-Quran walau sehelai muka surat setiap hari. Membaca Al-Quran dapat menerang jiwa, menenangkan perasaan dan menajamkan daya ingatan dengan lebih baik.

ILMU TANPA AMAL TAK BERGUNA

PESAN Imam Al-Ghazali, "Wahai anak! Nasihat itu mudah, yang sulit adalah menerimanya. Hal ini kerana terasa pahit oleh hawa nafsu yang menyukai segala yang terlarang, terutama di kalangan orang yang menuntut ilmu yang membuang masa dalam mencarikebesaran diri dan kemegahan duniawi.

Dia berpendapat bahawa dalam ilmu terkandung keselamatan dan kebahagiaan. Oleh itu, dia menyangka tidak perlu beramal. Dia tidak tahu ketika ada ilmu pada seseorang, maka apa yang memberatkan seperti sabda Rasulullah saw bermaksud: "Orang yang berat menanggung seksa pada hari kiamat ialah orang yang berilmu, namun tidak mendapat manfaat daripada ilmunya itu".

Wahai anak! Jangan engkau hidup dengan kemiskinan amal dan kehilangan kemahuan kerja. Yakinlah bahawa ilmu tanpa amal semata-mata, tidak akan menyelamatkan orang. Jika pada suatu medan pertempuran ada seseorang yang gagah berani dengan persenjataan lengkap dihadapkan dengan seekor singa yang garang, dapatkah senjata itu melindunginya daripada bahaya, jika tidak diangkat, dipukul dan ditikamnya haiwan itu?

Demikian pula, jika seseorang membaca dan mempelajari seratus ribu risalah ilmiah, kalau tidak diamalkan, maka ilmu itu tidak berfaedah.
Wahai anak! Berapa malam engkau berjaga untuk mengulangi ilmu, membaca buku dan engkau haramkan tidur atas dirimu. Aku tidak tahu, apa yang menjadi pendorongmu.

Jika yang menjadi pendorong itu ialah kehendak mencari kebendaan dan kesenangan dunia atau mengejar pangkat atau mencari kelebihan mengatasi kawan semata-mata, maka malanglah engkau. Namun, jika yang mendorongmu adalah keinginan untuk menghidupkan syariat Rasulullah dan menyucikan budi pekertimu serta menundukkan nafsu yang tiada henti mengajak kepada kejahatan, maka mujurlah engkau.
Benar sekali kata seorang penyair: "Biarpun mengantuk menyeksa mata, akan percuma semata-mata, jika tidak kerana Allah semata".

Wahai anak! Hiduplah seperti mahumu. Namun ingat! Bahawa engkau akan mati. Cintailah siapa yang engkau sukai. Namun ingat! Engkau akan berpisah dengannya. Berbuat seperti yang kau kehendaki. Namun ingat! Engkau akan menerima balasannya nanti.

No comments:

Post a Comment