(Dahulu, kini, nanti)
I.
Dahulu… 
saat indah zaman nubuwwah
Di kanan iman, di kiri ukhwah 
Di tapak… kebersihan hati
Di puncak… kecanggihan teknologi
Lahir ulama yang takutkan Allah 
Muncul umara yang cintakan ummah 
Islam itu indah… kerana Allah itu indah
Makmurnya watan ketika itu
Bila ditunjangi sikaya yang syukur
Diimbangi oleh simiskin yang sabar
Dilimpahi barakah peniaga yang jujur 
Dibantu oleh doa siabid yang makbul
Islam itu indah… kerana Allah itu indah 
Lalu keindahan Islam pun kembara
dari Makkah ke Madinah 
Menuju Asia, Afrika dan Eropah
Jelajah serata benua
Menaungi seluruh buana
Keadilan, keamanan, kemakmuran dinikmati bersama
Islam itu indah… kerana Allah itu indah
Ketika itu peribadi umat dihias mahmudah 
Di asas ‘lil Lah’ padulah keikhlasan 
Gerak kerja cekap dan berkesan 
Kukuh seluruh sepenuh itqan
Tiada yang sambil lewa 
Tidak ada tempat bagi yang alpa 
Seluruh, sepenuh, siap siaga 
Islam itu indah… kerana Allah itu indah
II. 
Kini…
Marilah kita cipta kembali sejarah
Bukan sekadar mengimbau dan memuja
Tetapi dengan merancang dan berusaha 
Hidup kita itulah kembaranya
Langkah kita itulah destinasinya
Membina TAQWA dengan yang Esa 
Melahirkan AKHLAK sesama manusia 
Menjana ITQAN di dalam kerja
Islam itu indah… kerana Allah indah 
III. 
Nanti…
Pastikan terukir kembali
Keindahan Islam yang sejati
Bukan lagi mimpi, bukan lagi teori
Tapi kenyataan yang hakiki 
Bila kerendahan hati seorang abdillah 
Disepadukan keperkasaan jiwa seorang khalifah
Tunggulah masanya
Ia pasti serlah 
Islam itu indah… kerana Allah itu indah  
 
No comments:
Post a Comment