Wednesday 24 April 2013

Google Glass

Dalam tempoh kurang 24 jam, filem robotik yang diadaptasi dari komik Iron Man bakal ditayangkan menampilkan pelbagai aksi berasaskan teknologi mengujakan membolehkan hero bertempur, terbang dan menembak.

Kalau anda perhatikan sut merah robotik yang dipakai karektor Tony Stark, anda akan mendapati cermin mata ditetapkan pada ruang muka robot itu mempunyai pelbagai paparan maklumat digital memberikan maklumat berkaitan kelajuan dan sebagainya.

Apa kaitan Iron Man dan it@Metro? Sebelum ini, Iron Man dan Iron Man 2 adalah contoh besar bagaimana teknologi ‘Augmented Reality’ (AR) boleh menjadi tentera masa depan dengan komputer kerangka utama memainkan data secara langsung kepada mereka ketika bertempur.
Ketika ramai beranggapan ia hanya fantasi dalam filem atau angan-angan mat jenin, satu syarikat berjaya menjadikannya realiti malah tidak mustahil ia bakal menjadi keperluan pada masa depan sejak teknologi telefon bimbit diperkenalkan.

Foto

 

Google Inc yang merancang cermin mata elektronik versi pengguna membolehkan mereka melayari imej dan audio serta melaksanakan tugas biasa seperti dilakukan pada laptop atau tablet dalam ruang berdiameter hanya 5 x 3 sentimeter (sm).

Pembangunan cermin mata terbabit dikatakan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan sebelum bakal menemui pengguna tidak lama lagi dengan harga menjangkau sehingga RM5,000.
Cermin mata yang dinamakan Google Glass itu mula dipertontonkan kepada umum ketika persidangan tahunan pembangunan perisian di San Francisco, Amerika Syarikat dengan memberikan gambaran paling terperinci setakat ini kepada orang awam sejak projek itu dilancarkan pada tahun lalu.
Google Glass adalah skrin elektronik bersaiz setem yang dipasang pada bingkai sebelah kiri sepasang cermin mata. Ia mampu merakam video, membuka e-mel dan mesej serta mendapatkan maklumat dari Internet.

Dalam demonstrasi teknologi itu, beberapa penerjun udara memakai cermin mata berkenaan melompat keluar dari kapal terbang dan mendarat di atas atap bangunan Moscone Centre di San Francisco dan berkongsi video secara langsung aksi lasak itu dengan orang ramai.
Pemberita yang menghadiri taklimat media selepas persidangan itu beratur untuk mencuba sepasang cermin mata milik Brin yang boleh menyaksikan bunga api dipaparkan dalam skrin kecil itu. Perspektif video itu berubah apabila pengguna beralih untuk melihat ke atas, ke bawah atau ke tepi.
Cermin mata itu yang lebih ringan berbanding kaca mata hitam biasa, mengandungi cip liputan tanpa wayar dan semua teknologi penting dalam sebuah telefon pintar kecuali liputan radio selular, kata eksekutif Google.
Baterinya lebih kecil berbanding bateri telefon pintar, tetapi Google menjangkakan ia mampu bertahan seharian dan dicas semula sebaik pengguna tidur.
Konsep AR menggunakan monitor video dan teropong khas, kamera dan pemprosesan komputer yang menyediakan penglihatan tiga dimensi akan dipraktik dalam penggunaan seharian tidak berapa lama lagi.

Cara ini membolehkan orang ramai melihat dengan jelas walaupun mereka sedang berjalan ditambah pula maklumat seperti yang disaksikan dalam Stark ketika berjalan menggunakan sut Iron Man.
Berdasarkan pandangan mata ditambah cermin mata yang terus dilihat di depan, cara ini membolehkan pengguna melihat dengan jelas maklumat terutama ketika proses pada lapisan yang sangat nipis.
Ia adalah lebih nyata. Malah sistem berkenaan boleh menyimpan maklumat yang dirakam berbanding cara pembedahan biasa.
AR memberi pandangan fizikal, persekitaran dunia sebenar ditambah elemen yang menyokong komputer untuk menghasilkan input deria seperti bunyi, video, grafik atau data.

Realiti maya menggantikan dunia sebenar dengan satu simulasi dalam masa nyata dan konteks alam sekitar seperti sukan skor perlawanan di TV terus ke ‘mata’ anda dapat direalisasikan dengan bantuan teknologi canggih AR.
Komponen asas yang diperlukan untuk AR diperkukuhkan dengan pemprosesan, paparan, pengesan dan peranti input.
Ia menyamai teknologi yang didapati dalam peranti pengkomputeran mudah alih moden seperti telefon pintar dan komputer tablet mengandungi elemen biasa termasuk kamera dan sensor seperti GPS dan kompas dalam bentuk cip kecil.

Pelbagai teknologi digunakan dalam proses memproses data AR pula termasuk sistem optik unjuran, monitor dan sistem paparan dipakai pada seseorang menggunakan cip biasa dalam telefon pintar, cuma ia akan dikompakkan. Paparan cermin mata digital akan menggunakan Set Sudah Siap Dipasang (HMD) iaitu peranti paparan berpasangan dengan alat dengar seperti fon telinga.
Imej pada HMD digabungkan antara dunia fizikal dan objek maya yang memajukan pandangan depan pengguna ketika memakai cermin mata digital terbabit.
HMD moden sering menggunakan sensor yang membolehkan sistem menyelaraskan maklumat maya kepada dunia fizikal dan menyesuaikan diri dengan pergerakan kepala pengguna.

Versi cermin mata digital menggunakan kamera untuk memintas pandangan dunia sebenar dan memaparkan semula pandangan yang diperkukuhkan melalui ‘mata maya’ dan alat yang mana imej AR dijangka terpantul dari permukaan lensa pemakai. Ia boleh dikatakan lensa bionik mungkin mengandungi unsur paparan tertanam termasuk litar bersepadu, LED dan antena untuk komunikasi tanpa wayar.
Sebelum ini, terdapat pembangunan teknologi sama oleh unit tentera Amerika Syarikat yang mereka AR membolehkan tentera untuk memberi tumpuan untuk mendekatkan imej.

Pemindahan teknologi kepada cermin mata pula pernah dicuba Makmal Teknologi Wajah Manusia di Universiti Washington apabila projek Paparan Retina Maya (VRD) dilancarkan membolehkan teknologi paparan yang diimbas terus ke retina mata pengguna.
Pengguna akan melihat apa yang muncul, sekali gus menjadikannya paparan konvensional terapung di dalam ruang hadapan mereka.
Seterusnya, dunia menyaksikan inovasi versi kedua cermin mata digital melalui EyeTap yang menyerap sinaran cahaya melalui pusat lensa pemakainya dan menggantikan setiap sinar cahaya kepada kuasa cip komputer.
EyeTap hampir sama dengan VRD dari aspek menggunakan kawalan sumber cahaya laser komputer kecuali ia lebih terperinci dan membaca pergerakan mata selain berfungsi sebagai kedua-dua kamera dan paparan melalui penjajaran tepat dengan mata.
Teknologi cermin mata digital juga menyamai pantulan cahaya peranti yang memantulkan imej ke dinding cuma bezanya jarak imej antara kamera pusat ke cermin mata lebih dekat dan belum pernah dihasilkan sebelum ini.

Cip pemprosesan meng­hantar maklumat ke lampu yang meniru dan menambah realiti dengan menonjolkan imej ke objek neutral, sekali gus menyediakan peluang untuk meningkatkan penampilan objek seperti dilihat dalam projektor dan kamera. Satu langkah utama sistem AR sistem bagaimana realistiknya mereka menyepadukan imej rekaan dengan dunia sebenar.
Ia terhasil dengan mendapatkan perisian yang memperoleh koordinat dunia sebenar melalui proses yang dinamakan pendaftaran imej menggunakan kaedah visi komputer berbeza kebanyakannya berkaitan dengan pengesanan video.
Mungkin ada yang bertanya apa bezanya AR dengan Virtual Reality (VR)?
Sejak menemui komputer pertama kali, manusia terus melakukan penelitian untuk mencipta cara baru berinteraksi dengan dunia maya yang dimulakan dengan paparan berasaskan teks hingga paparan berasaskan grafik dan kemudian muncullah teknologi VR.
Sebagai contoh, simulator penerbangan yang mana pesawat dapat dikendalikan oleh pengguna menerusi komputer dan menjalankan navigasi penerbangan melalui papan kekunci.

Inilah yang dinamakan VR, namun AR mempunyai fungsi lebih maya dan meluas tanpa membabitkan rekaan terlalu fizikal.
Bagaimanapun, terdapat cabaran memperkenalkan AR termasuk mengembangkan aplikasi AR mengikut sudut pandang pengguna secara tepat.
Bagi mengetahui sudut pandang yang benar-benar mengikut pergerakan mata, aplikasi harus tahu di mana kebiasaan mata pengguna beroperasi secara jelas.
Selain Google Glass, terdapat syarikat lain yang akan mengeluarkan cermin mata digital seperti Sony, Microsoft dan Samsung menunjukkan kesediaan peredaran masa bakal menyaksikan gaya futuristik dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

No comments:

Post a Comment