Sunday 15 April 2012

Jantung Hati Berkarat, Ulasan Ayat Ke-14 Surah al-Muthaffifin

Dalam kehidupan ini, mendapat nikmat jantung hati (spiritual heart/qalb) yang suci dan teguh dengan keimanan sudah tentu sangat diidam-idamkan oleh sekalian orang yang beriman. Malah itulah pertimbangan utama oleh Allah swt di dunia dan akhirat. Apalah guna mendapat pujian dan sangkaan baik dari ramai manusia namun dalam masa yang sama memiliki jantung hati yang melantik hawa nafsu dan syahwat sebagai raja. Kita selaku seorang Muslim dididik supaya sentiasa menyimpan malu apabila mendapat pujian lantaran kita lebih mengetahui siapa kita yang sebenarnya terutama apabila sedang berjauhan dari mata semua manusia.
Sememangnya terdapat banyak pesan daripada al-Quran dan hadis berkaitan qalb, salah satu ayat yang menggugah nurani kita ialah ayat ke-14 daripada surah al-Muthaffifin (surah ke-83). Allah swt telah berfirman:
“Sekali-kali jangan! (Ayat-ayat kami tidak ada cacatnya) bahkan jantung hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa). Dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.”
Selaput kekotoran yang terdapat dalam ayat tersebut telah menarik perhatian saya untuk membaca ulasan para ulama demi memahami apakah selaput dan bagaimanakah ia menutupi jatung hati kita.
Kalimah raan telah digunakan oleh Allah swt dalam ayat tersebut bagi merujuk kepada kekotoran qulub (jamak (plural) kepada perkataan qalb) yang berada dalam diri manusia akibat daripada keingkaran manusia dalam mentaati Allah swt. Merujuk kepada al-Mu’jam al-Wasit (lihat halaman 410), perkataan raan membawa beberapa maksud; antaranya ialah tadannasa iaitu “menjadikan sesuatu kotor”, sebagai contoh raan al-nafs bermaksud “jiwa menjadi kotor”. Ia juga bermaksud “menutupi” (ghattho) dan “mengalahkan” (ghalaba). Pengarang kamus tersebut memberikan contoh raana ‘ala qalbihi al-dzanb yang bermaksud “dosa telah menutupi/mengalahkan hatinya”.
Imam Ibn Kathir rahimahullah (lihat Tafsir al-Quran al-‘Azhim, jilid keempat, halaman ke-470) menyebut bahawa al-rayn (kata terbitan (masdar) kepada raan) menimpa kepada jantung hati orang-orang kafir, sementara Imam Muhammad Toher Ibn ‘Ashoor dalam kitab beliau bertajuk at-Tahrir wa at-Tanwir (jilid ke-12, halaman 199)pula menyatakan al-rayn menurut bahasa Arab ialah karat/hakisan yang menutupi besi di pedang dan (karat) cermin. Pandangan Ibn ‘Ashoor tersebut turut disebut dalam al-Mu’jam al-Wasit semasa menyebut maksud al-rayn.
Sementara itu, seorang ilmuan terkenal era moden khasnya berkaitan terjemahan dan tafsiran al-Quran edisi Inggeris iaitu almarhum Muhammad Asad dalam magnum opus beliau bertajuk The Message of The Quran telah menafsirkan raan sebagai berikut:
Lit., "that which they were earning has covered their hearts with rust": implying that their; persistence in wrongdoing has gradually deprived them of all consciousness of moral responsibility and, hence, of the ability to visualize the fact of God's ultimate judgment.
[Terjemahan: “Pengertian literal, “apa yang mereka lakukan telah menjadi karat yang menutup hati mereka”: menunjukkan bahawa amalan buruk yang mereka lakukan terus-menerus lama kelamaan telah menghapus kesedaran mereka akan tanggungjawab moral dan, kemampuan untuk melihat kebenaran tentang keputusan Tuhan.”]
Demikian sebahagian pandangan dan makna perkataan raan yang disebut oleh Allah swt dalam ayat ke-14 tersebut. Secara umumnya kita bisa memahami bahawa raan ialah karat, kotoran dan penutup kepada jantung hati disebabkan dosa-dosa yang telah dilakukan.
Ibn ‘Ashoor dan Ibn Kathir rahimahumallah – masing-masing – turut mendatangkan sebuah hadis riwayat Imam at-Tirmizi daripada Abu Hurayrah ra di mana baginda saw direkodkan sebagai berkata:
“Sesungguhnya seseorang hamba itu apabila melakukan sesuatu kesalahan (dosa), muncul titik hitam pada jantung hatinya. Apabila dia menanggalkannya, memohon ampun kepada Allah dan bertaubat, maka bergilap hatinya, sekiranya dia kembali (melakukan dosa) ditambah titik hitam pada jantung hatinya sehingga (titik hitam itu) mengatasi jantung hatinya, itulah al-raan yang Allah telah menyebutnya dalam kitab-Nya; “Sekali-kali tidak! (Ayat-ayat kami tidak ada cacatnya) bahkan jantung hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa). Dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.” (at-Tirmizi menyatakan hadis ini hasan sahih)
Sabda baginda saw tersebut secara jelas menceritakan kepada kita betapa jantung hati kita tidak pernah sunyi daripada dikotori dan ditimpa karat, gara-gara kita ialah manusia yang sentiasa terjerumus dalam kesalahan dan dosa. Benarlah sebahagian manusia mengibaratkan jantung hati kita persis tandas yang sentiasa ditimpa najis sekalipun dicuci selepas digunakan. Ibnu ‘Ashoor menyatakan bahawa perkataan yaksibun yang datang menerusi sighah al-mudhari’ menunjukkan bahawa pengulangan yang berterusan dan banyaknya dosa yang dilakukan oleh mereka yang diisyaratkan dalam ayat tersebut. Adapun kalimah kaanu yang mendahului perkataan yaksibun pula mengisyaratkan perbuatan syirik yang dilakukan sebelum kedatangan Islam.
Namun begitu, sekalipun ayat tersebut membidas orang kafir yang angkuh menolak hujah kepada Islam, namun penjelasan oleh hadis riwayat at-Tirmizi tersebut jelas menunjukkan sekalian manusia ditimpa karat dan kekotoran pada jantung hati mereka seandainya tidak dicuci dengan istighfar, penyesalan dan taubat. Alangkah tebalnya selaput kekotoran itu jika kita terus membiarkan hari-hari yang berlalu tanpa taubat kepada Allah swt.
Selain itu, seorang tabi’in terkenal iaitu Imam Hasan al-Basri tatkala merujuk kepada ayat tersebut, beliau menyatakan: “(al-raan) itu ialah dosa di atas dosa sehingga hati menjadi buta, kemudiannya mati”. (Ibnu Kathir, halaman 471)
Ayat ke-15 daripada surah al-Muthaffifin tersebut seterusnya menyebut:
“Sekali-kali jangan, sesungguhnya, mereka pada Hari itu akan terdinding daripada [rahmat] Tuhan mereka.”
Selain rahmat, para ulama menyebutkan bahawa mereka yang sudah diselaputi kekotoran sebagaimana terdapat dalam ayat ke-14 terdinding daripada melihat Allah swt pada hari akhirat kelak, berbanding nikmat orang beriman yang dapat melihat wajah Tuhan mereka. (Ibnu Kathir, halaman 471)
Demikianlah antara sifat jantung hati yang bisa mati sekalipun jasad pemiliknya masih tangkas di atas dunia. Hati yang sentiasa resah dan merindui maksiat pasti akan buta dari melihat Tuhan-Nya di akhirat kelak, sebagaimana mreka buta dari petunjuk Allah swt di dunia.
Mengakhiri renungan terhadap kalam Tuhan di atas, saya memetik pesan Rasulullah saw berkenaan jantung hati yang termaktub dalam sebuah hadis yang telah dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari (hadis ke-52) dan Muslim (hadis ke-1599) bahawasanya baginda saw bersabda: “Ketahuilah sesungguhnya dalam jasad manusia itu ada segumpal darah, apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad sementara apabila ia rosak maka rosaklah seluruh jasad, ketahuilah itulah jantung hati.”
Tiadalah dinamakana al-qalb melainkan sifatnya yang taqallub (berbolak-balik), maka berhati-hatilah kita daripada memiliki jantung hati yang berbolak balik ke arah maksiat dan dosa. Wahai Tuhan yang membolak-balikkan jantung hati, tetapkanlah jantung hati kami terhadap agamamu! (salah satu doa yang diajarkan oleh Rasulullah saw (dikeluarkan oleh at-Tirmizi, hadis ke-2140, 3522), hadis hasan menurut at-Tirmizi).
Rujukan:
1- Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-‘Azhim, jilid keempat, cetakan Darul Manar, halaman 470-471.
2- Ibn ‘Ashoor, at-Tahrir wa at-Tanwir, jilid ke-12, cetakan Dar Sihnun Linnasyr, halaman 198-200)
3- al-Mu’jam al-Wasit, halaman 410.
4- Muhammad Asad, The Message of The Quran, cetakan Daral-Andalus Gibraltar, halaman 1258.
5- Ibn Daqiq al-‘Iid, Sharh al-Arba’in al-Nawawiyyah, cetakan Darus Salam, halaman 109-121.

No comments:

Post a Comment